ADDS

Wednesday, May 11, 2011

Kitaran Cinta


Manusia bila bercinta,mereka buta dan pekak. Apa yang dicintainya,pada pandangan mereka ia cukup sempurna dan mengasyikkan.

“Cinta sayang pada ayang ibarat kurap,makin digaru,makin mengasyikkan..”

“Walaupun kentut sayang busuk tapi kentut itulah pengubat rindu abang..”

“Kalau ada lautan api,akan abang renanginya untuk sayang..”

“Belahlah jantung ini,lihatlah isinya kalau sayang tak percaya..”

Hiperbola yang sungguh melampau tetapi bagi yang bercinta,mungkin ayat-ayat di atas adalah satu kewajiban bagi mengeratkan lagi hubungan cinta. Tapi sebenarnya,hukum tersebut tidak terhad pada manusia semata-mata tetapi bertindak juga pada sesiapa dan apa-apa benda dengan syarat objek itu dicintai.

Alhamdulillah,minggu lepas,ada satu perkongsian yang membuatkan saya berfikir. Al-kisahnya begini, Zul (bukan nama sebenar) berasal dari keluarga yang berada,ibunya seorang guru jadi dia mendapat didikan yang secukupnya. Dari kecil sampai tingkatan 3,Zul adalah seorang pelajar yang baik dan pintar,malah pencapaian Akademiknya diiktiraf,namanya terpapar di dada-dada akhbar sebagai pelajar PMR terbaik pada tahun tersebut.

Sebelum masuk tingkatan 4,dia terfikir,”boring la jadi budak baik je..nak try jadi jahat..”

Maka bermulalah era hitam dalam diri Zul. Dia mula menghisap rokok,dia mula ‘lompat pagar’ dan sebagainya. Pendek kata,segala perbuatan jahat dicubanya. Klimaks kejahatannya ketika dia masuk ke satu tempat persediaan. Dia tidak pernah terfikir untuk datang ke Jepun,jadi dia membuat permohonan untuk tukar negara tetapi gagal. Disebabkan dia pun tidak ingin ke Jepun,jadi dia mula ponteng kelas persediaan tapi Allah kurniakannya akal yang pintar,walaupun ramai yang gagal ketika persediaan,dia tetap berjaya sampai ke Jepun.

Di Jepun kehidupan Zul semakin kacau-bilau. Tiada orang yang pantau hidupnya. Allah telah tarik nikmat belajar darinya,dia mula hilang minat untuk belajar.Dia semakin hanyut hinggalah dia diamanahkan sebuah masjid oleh seorang Pak Arab.Dia bercadang untuk membina masjid yang lagi besar,3 tingkat dengan peralatan dan perabot penuh. Dia ditegur oleh Pak Arab tersebut;

Kalau solat berjemaah pun tidak datang,janganlah berangan untuk bina masjid 3 tingkat
Dia terkesan.

Dia tersentuh.

Dan dia menangis.

Lalu dia tertanya, “aku korbankan hidup aku untuk bina masjid Dia,takkan aku taknak buat apa yang Dia suruh?”

“Apabila manusia memberi jiwa raganya pada sesuatu,maka cintanya pada perkara tersebut akan bertambah dan perbuatannya akan bersesuaian dengan apa yang dicintainya.”
Memang betul,bila seseorang mencintai motor,dia akan korbankan semua duit yang dia ada untuk motornya,apabila segala duit telah dikorbankan,cintanya terhadap motor makin bertambah,lalu perbuatan,peralatan,pakaiannya dan apa yang dilihatnya,mesti berkaitan dengan motor,pengetahuannya terhadap motor makin bertambah,maka makin cinta dia terhadap motornya.Bukankah ini satu kitaran?

Satu contoh lagi,awek. Abu suka pada Ati,jadi dia berusaha mencari profil Ati,dia buka Facebook,kenal pasti apa yang Ati suka,apa yang Ati benci,buku apa yang Ati baca,dia selak satu persatu gambar Ati,lama-kelamaan dia semakin cinta kepada Ati. Setelah diselidik latar belakang Ati,dia merasakan Ati perempuan yang paling sempurna buatnya.Dia luahkan cintanya pada Ati,Ati balas,kata Ati dialah lelaki yang Ati minat.Mendengar pengakuan dari Ati,cinta Abu kepadanya makin bertambah.Abu belanja dia makan,belanja dia tengok wayang dan sebagainya,pendek kata,hidup Abu dikorbankan untuk Ati,semakin dikorbankan,semakin bertambah cintanya pada Ati.Ati pula semakin menerima korban,dia pun cuba berkorban menyebabkan Abu semakin cinta padanya. Bukankah ini satu kitaran?Perkara ini berulang dan kitaran ini tiada jalan keluar melainkan satu tindakan berhenti.

Jadi tidak pelik bila kita baca balik sirah-sirah para Sahabat seperti Bilal Bin Rabah,Sumayyah dan Mus’ab Bin Umair apabila mereka meninggalkan hidup mereka kerana Islam,kerana Allah. Mus’ab Bin Umair yang dulunya anak emas keluarga yang kaya,bila dia mati,kain yang digunakan untuk mengkafani dia pun tidak cukup. Dia berikan jiwa dan raganya untuk agama,jadi Allah berikan cinta Nya kepada Mus’ab. Perkara ini berulang bagaikan satu kitaran,kitaran cinta.

Jadi untuk mendapatkan kitaran Cinta,seharusnya kita meniru Rasulullah dan para sahabat yang mengorbankan harta benda dan dirinya kepada Islam. Mungkin,di awal pengorbanan,10sen pun dikira susah.Tapi apabila selalu dikorbankan, Cinta kita mula terbalas,kita akan mula memasuki ‘track’ kitaran cinta dan akan berputar dalam kitaran tersebut. Ayuh kawan-kawan,kita sama-sama berazam untuk korbankan masa,jiwa dan harta kita untuk Allah,moga dengan perbuatan yang sedikit dari kita membolehkan kita layak berada dalam kitaran Cinta.

Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga….(Sehingga Akhir Ayat)
[At-Taubah:111]

No comments:

Post a Comment

Total Pageviews